Pementasan Purbawara “Matinya Seorang Pahlawan”: Reinvensi dan Cultural Resilience Oleh: Salman Faris (Pensyarah Kanan FMSP, UPSI)
Terjemahan

Dalam rentetan sejarah seni persembahan di Alam Melayu, istilah Purbawara menempati kedudukan unik yang seringkali terlepas daripada perbincangan arus perdana. Secara etimologi, istilah ini merupakan gabungan perkataan Purba yang bermaksud masa lampau atau kuno, dan Wara yang membawa erti berita atau cerita, lantas mendefinisikan dirinya sebagai sandiwara sejarah.

Bentuk teater ini berbeza secara fundamental dengan genre pendahulunya seperti Bangsawan atau Opera Melayu. Sekiranya Teater Bangsawan beroperasi atas logika improvisasi tanpa naskhah yang lengkap serta sarat dengan selingan nyanyian atau extra turns yang memutuskan alur dramatik, Purbawara hadir dengan disiplin naskhah yang ketat dan struktur dramaturgi yang koheren. Genre ini muncul sebagai respons intelektual terhadap keperluan zaman yang menuntut narasi sejarah dipentaskan dengan logika realisme dan pendalaman psikologi, menolak gaya karikatur dan fantasi yang berlebihan. Dalam Purbawara, raja dan pahlawan tidak lagi hadir sebagai dewa yang tidak tersentuh. Sebaliknya muncul sebagai manusia dengan konflik batin, dilema politik, dan tragedi kemanusiaan, menjadikan format drama tersebut jambatan krusial yang menghubungkan memori kolektif masa silam dengan estetika pentas moden.

Relevansi bentuk seni ini kembali diuji dan diraikan menerusi inisiatif Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM) yang bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL) serta Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). Gabungan strategik ini telah berjaya mempersembahkan pementasan Teater Purbawara bertajuk “Matinya Seorang Pahlawan”, sebuah naskhah yang merupakan magnum opus daripada Sasterawan Negara Usman Awang.

Teks kanonik tersebut dipilih kerana kekuatannya dalam mendekonstruksi mitos kepahlawanan Melayu. Pementasan tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada 12 dan 13 Disember 2025 jam 8:30 malam, serta pementasan matinee pada 14 Disember 2025 jam 3:00 petang. Pemilihan lokasi di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, memberikan konteks ruang yang menarik kerana bangunan tersebut bukan hanya sebuah gedung, malah merupakan simbol pertemuan antara warisan dan pelancongan, sebuah arena tempat budaya dipamerkan kepada dunia luar sekaligus diraikan oleh pemiliknya sendiri.

Produksi yang signifikan ini menampilkan beberapa pelakon utama dan berada di bawah arahan pengarah Lena Farida. Kehadiran Lena Farida sebagai nakhoda artistik memberikan sentuhan penting dalam menterjemahkan naskhah klasik Usman Awang agar relevan dengan sensibiliti penonton hari ini. Sebelum pementasan utama, penganjur juga telah mengadakan Kongres Teater Purbawara Melayu pada 11 Disember 2025, menegaskan bahawa peristiwa ini dirancang sebagai sebuah gerakan intelektual dan artistik yang utuh, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Baca Juga :  Kerjasama Pemprov NTB dengan PT. Eco Solution Lombok

Pementasan Purbawara “Matinya Seorang Pahlawan” oleh NADIM ini secara intrinsik telah memenuhi segala prasyarat genre Purbawara dengan menjadikan naskhah Usman Awang sebagai asas utamanya. Sasterawan Negara tersebut menulis naskhah berkenaan dengan struktur bahasa yang puitis namun tetap berpijak pada logika drama moden. Dialog-dialog watak terkunci kemas dalam teks, menuntut pelakon untuk menghafal dan menghayati subteks. Satu antitesis kepada tradisi improvisasi Bangsawan.

Latar cerita mengambil tempat di Kesultanan Melayu Melaka, tepatnya pada detik tragis pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat. Ciri khas Purbawara kelihatan jelas apabila material sejarah atau legenda dibingkai semula tanpa elemen extra turns atau selingan lawak jenaka yang tidak relevan yang lazim ditemui dalam teater rakyat. Fokus persembahan tertumpu sepenuhnya pada konflik ideologi antara kesetiaan yang diwakili Tuah dan penegakan keadilan yang dibawa oleh Jebat.

Struktur persembahan yang linear dan fokus pada kausaliti plot menegaskan kedudukan karya ini sebagai sebuah Purbawara par excellence. Walau bagaimanapun, mementaskan Purbawara pada era sekarang membawa cabaran yang monumental kerana kita hidup di era digital apabila rentang perhatian atau attention span audiens telah terfragmentasi oleh kandungan media sosial berdurasi pendek. Algoritma media sosial membentuk cara pandang generasi baharu yang menginginkan stimulasi visual pantas dan maklumat segera. Dalam landskap sebegini, sebuah drama sejarah yang dialogis, sarat dengan bahasa istana, dan penuh perenungan falsafah, berisiko dianggap usang atau membosankan.

Wujud skeptisisme yang wajar sebelum pementasan bermula mengenai kemampuan kisah Hang Jebat bersaing dengan narasi superhero global (seperti produksi Marvel) atau drama bersiri asing (seperti drama Korea) yang mendominasi skrin peranti pintar. Sekiranya pementasan ini hanya sekadar memindahkan teks ke pentas dengan busana berwarna-warni tanpa tawaran estetika baharu, persembahan tersebut berpotensi gagal menangkap imaginasi publik. Purbawara hari ini perlu bertarung di arena ekonomi perhatian atau attention economy yang sangat kompetitif. Namun, di tengah gempuran teknologi inilah urgensi pementasan garapan Lena Farida ini menemui momentumnya.

Alasan utama mengapa Purbawara ini penting untuk dipentaskan dapat ditemui dalam konsep Cultural Resilience atau ketahanan budaya. Merujuk kepada pemikiran sosiolog yang menyatakan bahawa ketahanan budaya ialah kemampuan sesebuah masyarakat untuk menyerap kejutan modeniti dan tetap mempertahankan identiti terasnya menerusi mobilisasi repertoir budaya. Pementasan “Matinya Seorang Pahlawan” oleh NADIM merupakan manifestasi nyata ketahanan tersebut.

Baca Juga :  Inovasi Dana Desa, Pesona Mangrove Tanjung Batu Sekotong

Masyarakat Melayu moden menghadapi krisis identiti di tengah arus globalisasi yang mengaburkan batas-batas budaya. Dengan kejayaan mementaskan naskhah Usman Awang, kolektif ini telah mengaktifkan sistem imun kebudayaan mereka. Pasukan produksi menggunakan naskhah lama untuk menavigasi persoalan baharu, di mana Jebat yang difitnah menderhaka bukan lagi dilihat sebagai pengkhianat feudal, sebaliknya dibaca semula sebagai simbol resistansi atau penentangan terhadap ketidakadilan struktur yang relevan dengan konteks politik dan sosial hari ini.

Ketahanan budaya yang dimaksudkan tersebut tidak bersifat pasif, malah konsep tersebut adalah tindakan aktif. NADIM, Lena Farida, dan para kolaboratornya tidak sedang mengawetkan abu jenazah sejarah, tetapi para seniman ini sedang menjaga nyala apinya. Purbawara menjadi wahana bagi masyarakat untuk melakukan refleksi diri atau self-reflexivity di tengah keriuhan zaman, menyediakan ruang hening bagi penonton untuk menoleh kembali akar nilai mereka tentang kesetiaan, keadilan, dan kemanusiaan yang mungkin telah kabur akibat pragmatisme kehidupan moden.

Lebih jauh lagi, pementasan yang baru sahaja selesai ini boleh dibedah menerusi kacamata penemuan atau penciptaan semula tradisi. Seringkali kita terperangkap dengan anggapan bahawa tradisi adalah sesuatu yang statis dan tidak berubah, namun Hobsbawm mengajarkan sebaliknya bahawa tradisi kerap kali dicipta semula atau direkayasa untuk memenuhi keperluan masa kini. Purbawara itu sendiri sejatinya adalah sebuah reinvensi. Ketika Usman Awang menulis naskhah ini, beliau melakukan makar terhadap tradisi Hikayat Hang Tuah dengan membalikkan perspektif iaitu Tuah yang dahulunya pahlawan menjadi antagonis, manakala Jebat yang derhaka menjadi protagonis.

Pementasan Purbawara “Matinya Seroang Pahlawan” ini adalah kelanjutan daripada proses reinvensi tersebut. NADIM dan Lena Farida melakukan rekayasa budaya dengan membawa naskhah klasik ke auditorium moden di Jalan Ampang, menjual tiket secara digital, dan mempromosikannya menerusi tagar media sosial #VisitMalaysia2026. Proses kreatif ini membuktikan bahawa budaya memiliki keplastikan dan entiti ini boleh dibentuk semula tanpa kehilangan esensinya.

Reinvention of culture adalah strategi bertahan hidup, kerana tanpa reinvensi, tradisi akan menjadi artifak muzium yang mati. Menerusi Purbawara, sejarah Melayu dicipta semula agar relevan bagi generasi Z dan milenial, membuktikan bahawa narasi tempatan mampu beradaptasi dengan wadah moden dengan meminjam struktur teater Barat untuk menyampaikan isi yang sangat Nusantara. Konsekuensi logik daripada cultural resilience dan reinvensi ini telah menjelma dalam mise-en-scène atau penataan pentas dan pengadeganan yang dihadirkan oleh pengarah Lena Farida.

Baca Juga :  Lanal Mataram Hadiri Sosialisasi UNCLOS 82 oleh Kadiskumal

Persembahan tidak terperangkap dalam realisme naif atau kemewahan busana semata-mata. Sebaliknya penonton menyaksikan penciptaan semula bahasa visual yang ampuh. Sebagai pengarah, Lena Farida memahami bahawa pentas Auditorium Tunku Abdul Rahman perlu diubah menjadi Place (ruang persembahan) sebagaimana dimaksudkan oleh Victor Turner dan Richard Schechner, sebagai bukan sekadar tempat pelakon berdiri, tetapi ruang kontestasi makna.

Penataan cahaya yang dihadirkan tidak hanya berfungsi menerangi wajah para pelakon, tetapi mampu memvisualisasikan gejolak batin Jebat menerusi Penentuan masa dan penempatan lampu dan kontras tajam yang berjaya memecahkan realiti serta menciptakan dimensi psikologi yang mendalam. Penggunaan teknologi dan tata bunyi yang diuruskan dengan cermat tidak menenggelamkan pelakon, sebaliknya memperkuat atmosfer. Muzik tradisional yang didekonstruksi dan dipadukan dengan bunyi-bunyian menciptakan landskap bunyi atau soundscape yang menjembatani masa silam dan masa kini.

Mise-en-scène garapan Lena Farida ini mampu menterjemahkan bahasa puitis Usman Awang ke dalam bahasa visual yang boleh difahami oleh penonton yang sudah terbiasa dengan sinematografi filem. Gerak tubuh pelakon juga tertata dengan tenaga baharu, di mana gestur Melayu klasik tetap dipertahankan namun diberi nafas segar. Pementasan ini menuntut lakonan yang bertenaga namun jujur, dan para pelakon berjaya mengelakkan gaya deklamasi kaku yang sering dikaitkan dengan teater lama. Barisan pelakon mampu memanusiakan bahasa istana, menjadikan dialog terdengar wajar dan mendesak, seolah-olah kata-kata itu baru sahaja lahir daripada fikiran watak pada detik itu juga.

Pementasan Purbawara “Matinya Seorang Pahlawan” merupakan sebuah pertaruhan kebudayaan yang penting dan berjaya. Pertunjukan ini berdiri teguh di persimpangan jalan antara nostalgia dan inovasi. Dan kehadiran karya tersebut adalah pernyataan sikap bahawa teater sejarah masih mempunyai tempat di tengah hiruk-pikuk Kuala Lumpur. Menerusi lensa cultural resilience, kita melihat usaha gigih masyarakat seni untuk mempertahankan narasi luhur mereka. Manakala menerusi lensa reinvensi, kita menyaksikan keberanian Lena Farida dan NADIM untuk menafsir ulang tradisi agar kekal relevan.

Purbawara, dalam tangan para seniman yang terlibat, telah bertransformasi daripada sekadar tontonan masa lampau menjadi dialog masa hadapan. Pementasan ini mengingatkan kita bahawa bangsa yang tangguh ialah bangsa yang mampu menceritakan kembali sejarahnya dengan cara-cara baharu, tanpa pernah kehilangan pijakan pada nilai-nilai yang membentuk siapa mereka sebenarnya. Pementasan Purbawara “Matinya Seorang Pahlawan” membuktikan bahawa semangat untuk memaknai sejarah akan terus hidup menerusi pentas teater yang dinamis.

Malaysia, 14 Disember 2025

Subscribe
Notify of
guest

0 Komentar
terbaru
terlama terbanyak disukai
Inline Feedbacks
View all comments